Politics

Tambat hati pendengar



norhayati_nordin@hmetro.com.my

PERNAH meledak dengan lagu Sayang Maafkan Aku pada 2017, siapa yang tidak kenal dengan penyanyi Syafiq Farhain. Anak Allahyarham Saleem Iklim ini juga ‘abang bomba’ kesukaan ramai.

Namun, perjalanan kerjaya nyanyian Syafiq, 28, tidak seindah arwah bapanya yang mana setiap lagu dilancarkan pasti ‘hit’. Malah, hingga hari ini banyak lagu Allahyarham Saleem yang malar segar.

Selesa positif dan enggan berasa patah semangat, Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, dia melihat rezekinya belum ada untuk lagunya mudah terpahat di hati pendengar.

“Saya tahu kebanyakan lagu saya selepas Sayang Maafkan Aku dilihat agak sukar untuk tembus dalam pasaran seperti ‘mesra radio’ dan popular di hati pendengar. Bagi saya mudah saja, rezeki lagu itu belum ada.

“Untuk kata berasa terkilan dengan apa yang dialami, tidak sampai ke tahap itu. Ini kerana, saya sentiasa percaya kepada rezeki dan sebagai hamba-Nya, saya kena yakin dengan aturan itu.

“Saya sangat percaya rezeki lagu nyanyian saya tidak sampai lagi untuk popular dan mudah diterima ramai. Tapi, selagi ada masa, ada ruang dan peluang saya akan terus mencuba,” katanya.

Syafiq yang baharu lima tahun aktif dalam kerjaya seni nyanyian, hingga kini sudah menghasilkan beberapa single solo seperti Kamar Hati, Demi Setia, Sakit Hati dan terbaharu tahun lalu, Kau Bidadari.

Menurut Syafiq, dia akur dengan ‘takdirnya’ yang berliku untuk menjadi penyanyi berjaya. Katanya, perjalanan dan dugaan perlu dihadapi setiap orang itu berbeza untuk mencapai kejayaan.

“Bagi saya, tak mengapa perlu melalui dugaan sebegini apabila lagu yang dihasilkan sukar menembusi pasaran. Lebih utama dan yang penting pendengar masih tahu, saya tetap ada dalam industri hiburan ini.

“Itu sudah membuat saya berasa sangat bersyukur. Ditambah lagi, sudah dua tahun kita berhadapan ancaman Covid-19 yang menyebabkan banyak kekangan aktiviti. Begitu juga dengan promosi dan publisiti lagu.

“Keadaan sekarang dah tak macam dulu yang membolehkan kita sering membuat promosi dan publisiti lagu secara bersemuka bertemu peminat. Kini, banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikut,” katanya.

Apa pun Syafiq berkata, dia juga aktif di media sosial untuk mempromosikan lagunya. Katanya, pada ketika ini platform seperti YouTube, Instagram dan TikTok turut membantu urusan promosi lagu.

Selain itu, Syafiq berkata, dia juga merancang mahu tampil dengan lagu baharu yang lebih variasi dengan gabungan irama seperti rap atau pop mengikut kesesuaian melodi lagu. Jelasnya, sudah tiba masa cuba menyuntik pembaharuan dalam lagu.

Belajar cipta lagu

Meskipun tidak lagi bersedia menyanyi dan merakamkan lagu ciptaan sendiri, Syafiq berkata, dia sebenarnya kini dalam proses belajar menghasilkan karya daripada air tangannya.

“Dengan kelapangan masa yang ada, saya cuba-cuba menghasilkan lagu sendiri. Pelbagai perkara baharu yang saya fikir untuk kebaikan kelangsungan karier pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, untuk saya nyanyikan lagu ciptaan sendiri belum ada keberanian lagi. Masih dalam tempoh belajar dan mencari hasil gabungan muzik sesuai dihasilkan.

“Saya pun belajar buat lagu sendiri dengan merujuk karya lagu lama yang memang saya suka dan minati. Saya tidak menimba ilmu dengan mana-mana komposer terkenal kerana lebih selesa ikut cara sendiri,” katanya.

Ditanya juga mengenai antara melodi dan lirik, faktor mana yang menarik perhatian pendengar terhadap sesebuah lagu, Syafiq berkata, lirik biasanya untuk memastikan lagu sampai ke hati pendengar, manakala melodi adalah tunjang lebih penting.

“Ditambah pada masa ini saya dapati kebanyakan daripada kita ‘lebih suka mendengar dari menghayati’. Jadi, pada saya melodi memang penting untuk sesuatu lagu itu menambat hati pendengar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.