Politics

Semarak Niaga bantu perniagaan bangkit semula – PM



suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) antara komitmen kerajaan untuk membantu perniagaan bangkit semula serta membina keupayaan dan daya saing mereka berikutan pandemik Covid-19 terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui Bajet 2022, sebanyak RM40 bilion diperuntukkan bagi tujuan ini yang merangkumi pelbagai bentuk pinjaman termasuklah suntikan ekuiti.

“Inisiatif ini juga mencerminkan semangat Keluarga Malaysia, yang mana seluruh komuniti usahawan daripada perusahaan mikro hingga syarikat tersenarai awam boleh memohon.

“Akibat pandemik Covid-19, kita tahu yang paling terkesan adalah golongan PMKS. Mereka perlu dibantu, tidak kira dari segi skim pembiayaan seperti pinjaman langsung, atau geran padanan supaya keupayaan mereka untuk memulakan semula perniagaan bagi jangka masa panjang dapat dijamin.

“Di bawah Semarak Niaga, kita juga ada jaminan pembiayaan yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22 bilion termasuk RM2 bilion khusus untuk Bumiputera. Semua ini akan memudahkan PKS mendapat pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperoleh,” katanya.

Ditanya bagaimana Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini dapat membantu dalam usaha pemulihan ekonomi negara, Ismail Sabri berkata, menerusi Semarak Niaga, kerajaan mahu memastikan negara berada dalam landasan pemulihan ekonomi yang kukuh.

“Dengan ketidaktentuan ekonomi negara sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kesannya masih dirasai oleh seluruh komuniti perniagaan dan kita dapat lihat beribu-ribu perniagaan terpaksa gulung tikar.

“Tentunya mereka menghadapi kesukaran untuk memulakan semula perniagaan atau memastikan kelangsungan operasi, terutamanya jika ada tanggungan hutang yang banyak.

“Jadi, Semarak Niaga bukan sahaja menyokong perniagaan dari segi suntikan modal kerja atau pembiayaan, tetapi melalui suntikan berbentuk ekuiti (seperti membeli saham atau memegang ekuiti dalam syarikat) kepada perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, ia adalah satu daripada penyelesaian inovatif yang tidak pernah diperkenalkan sebelum ini dan kerajaan yakin usaha itu akan membantu komuniti usahawan untuk terus maju dan bangkit semula.

“Apabila kita memberi bantuan dan sokongan kepada komuniti perniagaan, secara tidak langsung lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta, di samping memulihkan punca rezeki Keluarga Malaysia.

“Ini sekali gus akan mengurangkan kadar pengangguran, yang mana kerajaan mensasarkan kadar pengangguran yang akan terus pulih di bawah paras empat peratus menjelang hujung tahun ini.

“Malah, Jabatan Perangkaan Negara (DoSM) dan Bank Negara mengumumkan ekonomi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun lalu berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yakin usaha penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan perniagaan melalui Bajet 2022 akan menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 5.5 hingga 6.5 peratus tahun ini.

Memperincikan pecahan peruntukan RM40 bilion untuk Semarak Niaga, beliau berkata, pecahan bagi peruntukan lebih RM40 bilion dalam Bajet 2022 bagi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia merangkumi Pinjaman Kredit Mikro berjumlah RM1.8 bilion; Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilion; Pinjaman Mudah bagi PKS berjumlah RM14.2 bilion; serta Jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22.0 bilion.

“Yang pasti, semua tahap perniagaan, dari mikro atau kecil hingga ke besar dan tersenarai di Bursa, semuanya boleh memanfaatkan langkah dalam inisiatif Semarak Niaga dari Bajet 2022.

“Malah, khusus untuk PKS mikro, sebelum ini kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana sebesar RM1.8 bilion bagi pembiayaan, yang sesetengahnya siap ada ciri moratorium sehingga 12 bulan,” katanya.

Katanya, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) haruslah bekerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan inisiatif Semarak Niaga ini demi kesejahteraan seluruh Keluarga (Perniagaan) Malaysia.

“Kerjasama sebegini akan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bagi membantu rakyat membina semula kehidupan mereka, memberikan sokongan kepada perniagaan yang terjejas dan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial di negara ini.

“Secara keseluruhan, kerajaan yakin inisiatif ini akan akan memulihkan kehidupan Keluarga Malaysia dan pembangunan sosio-ekonomi negara secara lebih seimbang, inklusif dan mampan,” katanya.

Ditanya apakah matlamat yang ingin dikecapi secara keseluruhannya bagi Program Semarak Niaga, Ismail Sabri menegaskan matlamat pertama yang ingin dicapai terlebih dahulu adalah memastikan momentum pemulihan yang dikecapi pada suku keempat 2021 dapat diteruskan.

“Kerajaan, menerusi agensi yang berkaitan menyediakan skim pembiayaan serta pembiayaan alternatif kepada PMKS dan perniagaan lain yang terkesan bagi membolehkan mereka bangkit dan menjana pendapatan semula.

“Ini termasuklah inisiatif yang akan merancakkan dan memberi nafas baharu kepada sektor yang paling terkesan seperti pelancongan, peruncitan dan juga hiburan.

“Matlamat yang kedua ialah membina ketahanan kewangan perniagaan dan ini termasuk membantu mereka dari segi meningkatkan kemahiran pekerja. Ini berkait rapat dengan inisiatif JaminKerja yang baharu saya lancarkan pada 19 Februari lalu,” katanya.

Katanya, matlamat terakhir adalah memangkin pembaharuan bagi menyokong usaha negara ke arah sebuah ekonomi yang lestari, serta diperkasa oleh Transformasi Digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Bagi menguasai digital, kerajaan melaksanakan beberapa langkah sokongan termasuk geran pendigitalan PKS dan geran padanan automasi pintar bagi mempercepatkan transformasi digital selain membantu ekonomi ‘gig’ dan ‘start-up’ untuk bertapak dalam dunia perniagaan.

“Selain itu, suka saya berkongsi, Semarak Niaga juga dilengkapi oleh inisiatif Bajet 2022 yang lain terutamanya dalam memudah cara urusan perniagaan termasuk dalam menyesuaikan perniagaan dengan keperluan operasi pasca Covid-19.

“Sebagai contoh kerajaan akan melanjutkan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000 untuk menyokong pematuhan SOP (prosedur operasi standard) seperti menambah baik sistem pengudaraan dan memberi potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewa tempat penginapan pekerja.

“Selain itu, Bajet 2022 juga akan terus memperkasakan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan yang kekal berdaya saing termasuklah usaha menggalakkan lebih banyak pelaburan strategik.

“Sebagai contoh, terdapat dana pelaburan strategik khas untuk menarik pelaburan asing dalam kalangan syarikat multinasional (RM2 bilion); pemberian geran pemadanan Automasi Pintar kepada 200 syarikat pembuatan dan perkhidmatan (RM100 juta); serta program kemahiran dan latihan untuk melatih seramai 20,000 pekerja untuk menyokong kelompok industri (RM80 juta),” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau menjemput komuniti usahawan untuk merebut peluang yang akan membolehkan mereka pulih dan kembali berdiri semula sekali gus akan menyokong usaha pemulihan sosio-ekonomi negara.

“Komuniti usahawan dan perniagaan digalakkan untuk melayari Portal Manfaat Bajet 2022 di https://budget.mof.gov.my/manfaat/.

“Portal interaktif ini menyediakan pelbagai maklumat mengenai skim dan manfaat yang ditawarkan di bawah inisiatif SemarakNiaga ini.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan sentiasa komited dalam memangkin pemulihan, serta meningkatkan daya tahan dan daya saing sektor perniagaan terutamanya PMKS,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.