Politics

Media rasmi dibenarkan perkenal semua calon termasuk pembangkang – Annuar


KLUANG: Media rasmi kerajaan dibenarkan menjadi medium memperkenalkan semua calon termasuk calon parti pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri bahawa stesen radio dan televisyen kerajaan, boleh memainkan peranan berkenaan supaya calon lebih mudah dikenali.

“Kita benarkan selagi ia tidak bercanggah dengan peranan media rasmi kerajaan, kerana seperti yang kita tahu media rasmi kerajaan bertanggungjawab menyampaikan mesej kerajaan.

“Yang bertanding nanti adalah parti, namun begitu kerajaan juga bertanggungjawab untuk menghidupkan proses demokrasi yang menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian watikah Ketua Komuniti Keluarga Malaysia Zon Tengah, di sini, malam ini.

Mengulas mengenai Komuniti Keluarga Malaysia terutama ketika PRN Johor ini, Annuar berkata, perbezaan fahaman politik tidak akan menghalang matlamat penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia iaitu menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan selain memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Annuar berkata, proses pilihan raya seperti yang akan berlangsung di Johor hanya bersifat sementara, namun proses menjayakan Komuniti Keluarga Malaysia adalah suatu misi jangka panjang.

“Pilihan raya ini hanya berlaku dalam tempoh 14 hari sahaja…lepas 14 hari harus bekerjasama semula sebagai satu masyarakat, dan agenda membangunkan negara harus diteruskan. Jadi, saya nampak mereka ada peranan yang lebih besar dan seharusnya melangkaui fahaman kepartian,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Annuar berkata, sebanyak 1,674 Komuniti Keluarga Malaysia diwujudkan sehingga 17 Februari lalu.

Pada 26 Januari, jemaah menteri mempersetujui penubuhan 1,878 Komuniti Keluarga Malaysia di seluruh negara.

Penubuhan ini membabitkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM18.78 juta dengan RM10,000 diperuntukkan kepada setiap Komuniti Keluarga Malaysia.

Program Komuniti Keluarga Malaysia yang dilaksanakan melalui Jabatan Penerangan, adalah berteraskan kepada pemerkasaan komuniti sebagai ejen penyebaran maklumat serta mengimarahkan aktiviti kemasyarakatan. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.