Politics

'Kami tak langgar SOP' – Raysha Rizrose



najiy.jefri@hmetro.com.my 

Kuala Lumpur: Pelakon, Raysha Rizrose menjelaskan majlis perkahwinan kakaknya yang juga pelakon popular, Uqasha Senrose dengan Kamal Adli yang berlangsung pada 15 Disember lalu tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. 

Raysha yang turut bertindak sebagai pengiring pengantin pada majlis berkenaan berkata, setiap tetamu yang hadir wajib memakai pelitup muka, namun video yang tular adalah selepas selesai sesi fotografi bersama pengantin. 

“Sebenarnya tiada istilah melanggar SOP pun sebab jumlah tetamu yang hadir memang sangat terhad dan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan. 

“Tetamu yang datang pada hari itu hanya kaum keluarga dan rakan terdekat sahaja.  Mereka yang datang wajib menjalani ujian saringan RTK Antigen, lengkap dua dos vaksin Covid-19, memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera dan kanak-kanak tidak dibenarkan hadir. 

“Nak dijadikan cerita, video yang tular itu berlaku selepas sesi sesi fotografi dengan pengantin. Jadi, ketika itu memang saudara-mara serta kenalan rapat ada yang membuka pelitup muka sekejap,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Raysha, memasuki tahun kedua pandemik Covid-19 ini, dia percaya rata-rata yang hadir mempunyai kesedaran tinggi terhadap bahayanya virus itu. 

“Sekiranya dipanggil pihak berkuasa, saya sedia beri kerjasama. Perkahwinan Kamal dan Uqasha yang berlangsung tempoh hari adalah hasil kerjasama dengan  Astro yang juga dikenali sebuah stesen TV yang sangat pentingkan SOP.

“Bagi saya, kalau buat majlis makan-makan atau kenduri di rumah pun, takkanlah kita semua mampu menjaga penjarakan selama 24 jam. Ia sesuatu yang tidak boleh dikawal. Namun, sudah tentulah masing-masing mempunyai kesedaran dan tanggungjawab untuk memastikan diri berada dalam keadaan yang baik selain memakai pelitup muka dan mematuhi SOP. 

“Takkan masa nak makan pun kita masih nak pakai pelitup muka? Sesi bergambar pun ada tetamu yang memilih pakai pelitup muka serta tidak untuk merakam detik bahagia dengan pengantin. Jadi saya ingin tegaskan tiada istilah tidak mengikut SOP,” katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan susulan tular video majlis perkahwinan pasangan terbabit di Genting Highlands yang tidak mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima laporan berkaitan video berdurasi 41 saat itu pada 10.30 malam tadi yang dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) memaparkan perkahwinan pasangan itu di sebuah villa di Genting Highlands.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.