Politics

JPS Sabah diarah pastikan sistem perparitan lancar elak banjir



am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah diarah supaya memastikan semua sistem perparitan, khususnya di pantai timur negeri itu tidak tersumbat sebagai langkah menghadapi hujan lebat akibat luruan angin Monsun Timur Laut.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, JPS perlu mengambil langkah segera itu bagi memastikan sistem perparitan sedia ada dapat mengalirkan air hujan dengan lancar, terutama di kawasan bandar.

Katanya, arahan itu sejajar dengan ramalan hujan lebat luar biasa yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.

“Sering kali air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar di kawasan bandar disebabkan parit yang tersumbat.

“Ia mungkin disebabkan pelbagai faktor, paling banyak disebabkan pembinaan perparitan yang tidak sempurna, selain disalah guna sebagai tempat pembuangan sampah.

“Namun sekarang bukan masa untuk menuding jari. Apa yang lebih penting ialah kita mesti bersedia menghadapi situasi terburuk,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berjaga-jaga dan mengambil iktibar terhadap kejadian banjir buruk di Semenanjung.

Katanya, rakyat negeri ini juga perlu mengambil peringatan mengenai kejadian banjir di kawasan yang tidak biasa dinaiki air seperti berlaku di banyak kawasan di beberapa negeri lain.

“Kalau dapat, buat perancangan sekarang untuk berpindah ke kawasan tinggi terutama mereka yang tinggal di kawasan mudah banjir bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.

MetMalaysia meramalkan luruan monsun dengan membawa angin sejuk dari Siberia bermula hari ini yang dijangka mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.