Politics

JPA diminta senaraikan COVID-19 sebagai penyakit berjangkit


MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mempertimbangkan untuk menyenaraikan COVID-19 sebagai penyakit berjangkit, bagi melayakkan ibu bapa yang menjaga anak dijangkiti wabak itu dapat menggunakan kemudahan cuti kuarantin hingga lima hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ia bertujuan memberi keadilan dan kelegaan kepada kontak rapat, terutamanya dalam kalangan kakitangan perkhidmatan kesihatan yang mempunyai anak positif COVID-19.

“Saya percaya jika anak kecil mereka positif, tiada siapa yang mahu menjaga mereka sepanjang tempoh kuarantin antara tujuh hingga 10 hari, dan ibu bapa perlu mengambil cuti tahunan untuk menjaga anak mereka.

“Adalah tidak adil jika mereka terpaksa mengambil cuti tahunan dan ada dalam kalangan mereka terpaksa juga berkerja, sehingga mengganggu fokus pada pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sekiranya wabak berkenaan disenaraikan sebagai penyakit berjangkit, ibu bapa yang mempunyai anak positif COVID-19, boleh mengambil cuti secara bergilir untuk menjaga anak mereka sepanjang tempoh kuarantin.

Di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016, kemudahan cuti kuarantin diberikan kepada ibu bapa yang anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit, untuk anak-anak berusia di bawah 18 tahun atau bawah 21 tahun jika anak masih belajar.

Enam penyakit berjangkit disenaraikan di bawah pekeliling itu, iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut; demam denggi dan demam denggi berdarah, campak; chickenpox; difteria; dan malaria.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Khamis lalu berkata pengumuman mengenai protokol isolasi kontak rapat akan dibuat pada minggu hadapan, selari dengan protokol diamalkan pekerja kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Di bawah protokol itu, mereka yang menjadi kontak rapat dan tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin sebaliknya hanya perlu buat ujian kendiri COVID-19 pada hari-hari tertentu. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.