Politics

Jangan kurung anak OKU, hantar ke PDK!



am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan anak-anak golongan kelainan upaya (OKU) menerima latihan kemahiran di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa dibela.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, KWP akan memberi perhatian terhadap isu itu supaya golongan terbabit tidak ketinggalan dari segi latihan, pendidikan, pemulihan serta integrasi sosial berbanding individu normal.

Menurutnya, terdapat segelintir keluarga yang tidak memahami masalah itu sehingga membiarkan anak-anak OKU terlantar di rumah tanpa mendapat latihan di PDK disediakan di sesebuah komuniti.

“Saya berharap tiada golongan anak-anak OKU yang terpinggir dari mendapat latihan. Sekiranya ada, boleh menyalurkan maklumat kepada KWP.

“KWP mempunyai jentera bagi mengatasi masalah ini termasuk membantu golongan miskin meneruskan kehidupan, “katanya pada Program Semarak Kasih Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 Bersama Pelajar PDK di Presint 14 di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan

Naib Presiden Kanan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.

Pada program anjuran bersama PPj dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu, Shahidan turut menyampaikan sumbangan peralatan terapi berjumlah RM40,000 kepada empat pertubuhan PDK.

PPj pula menyumbang baucer membeli belah RM100 kepada setiap pelajar manakala YWP menyumbang bakul makanan kepada setiap pelajar dan petugas.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.