Politics

Cisse kembali dipuji, Senegal berpesta


DAKAR: Ribuan penyokong Senegal meraikan kemenangan sulung mereka pada Piala Negara-Negara Afrika semalam dengan memuji jurulatih Aliou Cisse, yang sebulan sebelum itu berdepan kritikan mengenai taktik digunakannya.

Penyokong memuji bintang global seperti penyerang Liverpool, Sadio Mane dan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy selain menyanyikan nama Cisse yang merencanakan kemenangan 4-2 dalam penentuan penalti berdepan skuad diketuai Mohamed Salah, Mesir pada final di Cameroon.

Perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan selepas tambahan masa.

Kemenangan itu memberikan Senegal kejayaan pertama dalam kejohanan berkenaan dan mencetuskan suasana pesta di ibu negara barat Afrika itu.

Presiden Macky Sall mengisytiharkan cuti umum semalam bagi menandakan kemenangan negara itu dengan Cisse yang menerima pujian di semua media kebangsaan, menangis di depan penyokong di stadium sebelum dikerumuni pemain yang terlalu gembira selepas perlawanan.

“Dia membantu kami mendapatkan piala yang amat kami nantikan selama bertahun-tahun. Saya antara mereka yang mengkritiknya – tapi kami tiada siapa yang lebih baik daripadanya,” kata Alla Diop yang juga antara penyokong meraikan kejayaan itu di Dakar.

Cisse menerima kritikan teruk daripada berjuta peminat sejak mengambil alih skuad Lions of Teranga pada 2015 selain pihak yang rapat dengan negara yang amat sukakan bola sepak itu.

Ramai beranggapan falsafah permainannya terlalu bertahan dan terlalu perlahan untuk pemain hebat seperti Mane.

“Jika kami tidak menang AFCON, lebih baik Aliou Cisse meletak jawatan,” kata bekas rakan sepasukannya, Khalilou Fadiga sebelum kejohanan bermula. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.