Politics

Adam mahu balas kepercayaan TKKR Racing



saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia dan Kejuaraan Eropah (CEV), Adam Norrodin mahu membalas kepercayaan yang diberikan pasukan OneXOX BMW TKKR Racing dengan pencapaian cemerlang di atas litar.

Pelumba berusia 23 tahun itu menerima talian hayat apabila minggu lalu ditawar menyertai pasukan berkenaan untuk beraksi di kelas ASB1000 dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas kariernya sebelum ini terumbang ambing apabila disahkan tidak lagi ditawarkan berlumba di CEV.

Malah Adam sebelum ini juga mengakui tidak pasti berhubung perjalanan kariernya pada musim ini tetapi tetap berusaha mendapatkan pasukan untuk beraksi di ARRC meskipun masa cukup singkat.

Dia akan bergandingan bersama juara ASB1000 2019 yang juga pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman pada musim ini dengan menggunakan jentera model baharu 2022, BMW S1000RR.

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyertai pasukan OneXOX BMW TKKR. Saya tahu mereka mempunyai gabungan yang kuat dan berpasangan pula dengan Azlan.

“Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan keseronokan saya. Saya akan cuba yang terbaik supaya menjadi aset kepada pasukan ini.

“Saya sudah menjalani latihan dan berharap segala usaha saya akan menghasilkan keputusan yang baik untuk pasukan,” katanya.

Adam cemerlang pada Kejuaraan CEV Eropah musim lalu selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan.

Dia mengumpul keseluruhan 97 mata namun sedikit tersasar daripada sasaran iaitu menamatkan kempen di kedudukan ketiga terbaik secara keseluruhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.